Khamis, 21 Januari 2010

PERUTUSAN PENGARAH

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera untuk semua,

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t kerana dengan kurnia dan izinnya jua dapat kita berkomunikasi dan bertukar maklumat dan informasi melalui laman web KKKB ini.

Penubuhan Kolej Komuniti Kepala Batas yang bermula pada 6 Jun 2001 sebagai sebuah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat masyarakat dan memberi peluang pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat.

Kolej juga berperanan melahirkan keperluan tenaga manusia dan memenuhi kehendak sosial setempat selaras dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja mahir demi merealisasikan matlamat wawasan 2020.

Kursus-kursus sepenuh masa untuk pelajar lepasan SPM dan kursus-kursus pendek yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira had umur telah menjadikan Kolej Komuniti Kepala Batas sebagai pilihan utama komuniti setempat.

Lokasi kolej yang terletak di dalam kawasan perumahan yang berhampiran dengan pekan Kepala Batas yang pesat membangun bukan sahaja memberi kemudahan tempat tinggal kepada pelajar malah dilengkapi dengan fasiliti yang terkini. Prasarananya yang disediakan adalah lengkap dan berwajah baru serta didukung oleh 100 orang staf akademik dan pentadbiran yang berdedikasi dan berpengalaman menjadikan kolej Komuniti Kepala Batas antara kolej komuniti yang terulung di Malaysia.

4 kursus sepenuh masa ditawarkan di Kolej Komuniti Kepala Batas adalah kursus sijil Automotif, kursus sijil Multimedia Kreatif (animasi) , kursus sijil Teknologi Pembuatan Bersepadu dan kursus sijil Pelukis Pelan Senibina . Sementara kursus yang ditawarkan di kolej –kolej komuniti cawangan iaitu di Kolej Komuniti Nibung Tebal (sijil Hotel dan Katering) , Kolej Komuniti Bukit Mertajam (sijil Fesyen dan Pakaian) dan Kolej Komuniti Tasek Gelugor ( kursus Bakeri dan Konfeksionari) . Kesemua kursus-kursus tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakan dari masyarakat setempat.

Semoga dengan melayari laman web KKKB ini akan memberikan maklumat dan pendedahan kepada masyarakat untuk lebih mengenali Kolej Komuniti Kepala Batas dan peranannya kepada masyarakat setempat. Sebarang pertanyaan dan cadangan yang membina adalah dialu-alukan demi untuk kebaikan bersama. Sekian.

“Kolej Komuniti Kepala Batas adalah Kolej Anda”

Mohd Nasir Bin Abd Ghani
Pengarah.




Copyright link:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan