Rabu, 30 September 2009

SUCCESS STORY

Pengenalan
Menjejaki peserta kursus pendek yang berjaya telah menemukan kami dengan Puan Rokiah binti Ismail, pemilik nombor kad pengenalan 700707-07-5434 yang berasal dari Sungai Dua, Butterworth.Tarikh 31 Mei hingga 30 Ogos 2008 merupakan tempoh yang amat bermakna bagi beliau yang merupakan salah seorang peserta yang terpilih di kalangan penduduk miskin tegar daerah Seberang Perai Utara. Menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, kesemua peserta program diberikan latihan intensif masakan timur dan teknologi makanan. Tempoh 144 jam latihan kemahiran masakan pelbagai menu dan program keusahawanan berjaya mencetus idea dan menjadikan beliau bijak mengintai peluang perniagaan. Situasi ini sekaligus meletakkan bekas peserta kursus ini sebagai salah seorang yang berjaya mencapai objektif perlaksanaan program iaitu melahirkan usahawan kecil di kalangan penduduk berpendapatan rendah.

Sebelum Memulakan Kursus…..
Melayari hidup sebagai surirumah sepenuh masa dan membesarkan tiga orang anak menimbulkan keinginan dan hasrat di hati beliau untuk membantu suami menambahkan pendapatan hidup mereka sekeluarga. Menerusi maklumat dan tawaran daripada pihak Kolej Komuniti Kepala Batas dan dikuatkan lagi dengan minat yang telah lama terpendam serta dorongan daripada suami dan keluarga meningkatkan lagi keyakinan diri untuk menerima tawaran ini bagi menaikkan taraf hidup Puan Rokiah sekeluarga.

Semasa Mengikuti Kursus….. Puan Rokiah amat teruja dapat mempelajari pelbagai menu dan teknik memasak daripada chef-chef yang dibawa khas oleh pihak kolej. Daripada penyediaan makanan timur, makanan barat, makanan sejuk-beku, kuih tradisional, pasta, roti dan kek, kesemuanya dipelajari dengan tekun. Pelbagai ilmu keusahawanan juga dikutip satu-persatu daripada 13 orang ilmuan dari Universiti Utara Malaysia sepanjang tempoh 14 hingga 21 Ogos 2008. Sifat suka bertanya tips-tips masakan dan kesungguhan beliau terserlah sepanjang perjalanan kursus. Pengalaman Puan Rokiah juga lebih bermakna apabila diserikan lagi dengan lawatan yang diaturkan oleh pihak kolej untuk diketemukan peserta program dengan chef terkenal iaitu Chef Ismail dan Chef Florence
Tan di Restoran Rebung, Bangsar bagi melengkapkan lagi ilmu memasak dan teknik pemilihan bahan mentah di pasar. Kejutan yang dibuat oleh Chef Ismail dengan mengadakan slot motivasi untuk menjadi usahawan ternyata mengundang pelbagai perasaan, bersemangat, sedih, terharu dan bagi Puan Rokiah sendiri rentetan pengalaman inilah permulaan baru dalam hidup beliau…

Kejayaan Sekarang…..
Mengusahakan jualan di kantin Sekolah Agama Rakyat Sungai Dua, beliau mengaplikasikan sepenuhnya resepi-resepi yang dipelajari dan berjaya mendapatkan tempahan-tempahan daripada penduduk setempat. Beliau juga semakin terkenal dan mula mengambil tempahan katering untuk pelbagai majlis dan keraian dalam kuantiti yang besar terutamanya di musim cuti sekolah. Terbaru, Puan Rokiah memulakan perniagaan sejuk-beku dan juga sambal tumis segera. Mendapat sokongan penuh daripada suami, tempahan katering, makanan sejuk-beku dan juga sambal tumis turut mendapat tempat di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), tempat suaminya bekerja. Beliau amat bersyukur mendapat keuntungan sekitar RM 1,400 – RM 1,500 sebulan dan keuntungan akan meningkat pada musim cuti sekolah.

Harapan…..
Mula mendapat tempat dalam pasaran, Puan Rokiah turut tidak terlepas daripada kekangan dan cabaran untuk mengembangkan perniagaan. Antaranya, beliau mengharapkan akan memiliki premis dan pekerja sendiri suatu hari nanti memandangkan sekarang beliau terpaksa menolak banyak tempahan disebabkan tidak cukup peralatan dan tidak mempunyai kakitangan pembantu. Beliau juga terpaksa menolak tawaran tender kantin MPSP baru-baru ini disebabkan masalah yang sama. Namun, semua cabaran ini sedikit pun tidak mematahkan semangat beliau malah memberi suntikan dan semangat baru untuk terus berkecimpung dalam bidang ini sekaligus mengubah kehidupan baru beliau daripada usahawan kecil kepada usahawan yang menjalankan perniagaan secara besar-besaran dan mempunyai pasaran yang luas.

Ucapan…..
Memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi, Puan Rokiah turut tidak lupa segala jasa dan latihan kemahiran yang telah disediakan oleh pihak Kolej Komuniti Kepala Batas sehingga membawa perubahan dalam dirinya dan keluarga. Alhamdulillah…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan