Rabu, 18 November 2009

KISAH KEJAYAAN PESERTA KURSUS PENDEK

Pengenalan
Minat yang amat mendalam dalam bidang jahitan akhirnya merubah kehidupan seorang surirumah, Puan Rosnah binti Mat, nombor kad pengenalan 590729-02-5310 yang menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang. Ibu kepada dua orang anak ini mempunyai prinsip tidak jemu belajar dan usia bukanlah penghalang untuk terus menimba ilmu dan kemahiran. Buktinya, wanita bersemangat berusia 50 tahun ini mula mengikuti kursus jahitan di Kolej Komuniti Kepala Batas ini semenjak tahun 2006 hingga kini!

Sebelum Memulakan Kursus…..
Mengenangkan anak-anak telah tamat persekolahan, Puan Rosnah mula memasang niat untuk berkecimpung dalam bidang yang telah lama ingin diceburinya ini. Namun, beliau hanya berkebolehan menjahit baju kurung biasa sahaja tanpa mengikuti mana-mana kursus atau latihan intensif. Bak kata pepatah, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, wanita cekal ini mengintai peluang-peluang mendapatkan kemahiran dalam jahitan sebagai bekalan untuk bergiat secara lebih serius dalam bidang ini. Berkat usaha dan kesabaran, akhirnya menemukan Puan Rosnah dengan kakitangan Kolej Komuniti Kepala Batas yang memperkenalkan kursus pendek jahitan pakaian kepada beliau pada tahun 2006.

Semasa Mengikuti Kursus…..
Apabila peluang telah terbuka luas di depan mata, Puan Rosnah berazam untuk tidak mensia-siakannya dan mengutip setiap kemahiran daripada tenaga pengajar yang pihak kolej sediakan. Ternyata, beliau seorang yang cepat mahir dan amat disenangi oleh tenaga pengajar. Selesai kursus pertama, timbul pula keinginan untuk belajar fesyen yang lain pula. Apa yang menariknya tentang wanita ini ialah keinginannya tidak terhenti di situ saja dan beliau memohon lagi untuk kursus jahitan bagi fesyen yang lain pula. Situasi ini terus berlanjutan hingga kini. Minatnya terbukti seiring dengan kebolehan dan kemahiran yang diterima apabila anak emas kepada tenaga pengajar ini acapkali menerima pujian melalui hasil jahitannya yang sangat cantik dan kemas.


Kejayaan Sekarang…..
Perasaan gembira tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila segala yang diimpikan kini telah menampakkan hasil. Beliau telah terkenal di kalangan penduduk setempat sebagai tukang jahit yang menghasilkan jahitan yang berkualiti. Berpuluh-puluh sijil telah berada dalam genggaman dan beliau telah mahir dalam pelbagai jenis jahitan. Antaranya ialah jahitan baju kurung biasa, baju kurung johor, baju kurung pahang, baju kebaya, baju kebarung, baju melayu, jubah, kemeja lelaki dan perempuan, blazer lelaki dan perempuan, blaus, kain pasang, seluar, baju raihan, baju jururawat dan lain-lain lagi. Tempahan yang diterima amat banyak dan ada di antaranya terpaksa ditolak kerana tidak ‘menang tangan’.
Berlandaskan kepada niat asal untuk membantu suami menambahkan pendapatan dan bukannya menjadikan sebagai punca pendapatan utama dalam keluarga, Puan Rosnah tidak meletakkan upah yang tinggi untuk tempahan. Terkenal dengan upah yang murah, sekitar RM 25 sahaja untuk jahitan yang amat berkualiti menjadikan beliau popular dan rezeki datang mencurah-curah. Pendapatan tetap beliau sebulan sekitar RM 1,000 dan menjelang musim perayaan dan kenduri pendapatan beliau mencecah lebih dari angka RM 2,600.
Bagaikan tidak percaya, beliau kini berjaya memiliki aset sendiri hasil daripada upah menjahit walaupun tidak memiliki premis perniagaan sendiri. Di rumahnya kini terdapat empat buah mesin jahit termasuk sebuah mesin jahit tepi dan sebuah mesin jahit sulam.

Harapan…..
Puan Rosnah masih memasang tekad untuk terus berkursus di Kolej Komuniti Kepala Batas untuk menambahkan lagi jenis jahitan pakaian yang ada dan demi untuk menjaga kualiti jahitan beliau. Beliau juga amat berharap sekiranya golongan muda dapat mengambil peluang yang amat bernilai ini memandangkan kursus yang ditawarkan murah dan bermanfaat. Yang paling penting, kursus ini dapat menjana pendapatan dan melahirkan usahawan bagi mereka yang bijak menggunakannya.

Ucapan…..
‘Alhamdulillah…Terima Kasih Kolej Komuniti Kepala Batas’. Demikianlah ayat yang terpacul secara spontan apabila diminta membuat ucapan. Beliau amat bersyukur kerana impian yang telah lama terpendam berjaya direalisasikan berkat sokongan padu daripada suami tercinta dan anak-anak tersayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan